Kerjasama melibatkan penye­rahan akses E-paper Utusan Malaysia secara percuma selama enam bulan itu disempurnakan bersempena majlis Anugerah Tokoh Siswa UiTM 2017 yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di kampus induk universiti itu, di sini malam ini.

Akses akhbar digital yang meliputi 3,000 akaun pengguna itu adalah sebahagian daripada usaha bagi mendedahkan para mahasiswa terhadap sumber maklumat yang benar selain menggalakkan mereka berfikir secara intelektual, kritis, analitis serta melatih mereka dengan kemahiran penulisan. 

Penyerahan akses E-paper Utusan Malaysia itu dilakukan Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas kepada Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, Muhammad Syahid Aiman Muhammad Bazlan. 

Turut menyaksikan penyera­han E-paper Utusan Malaysia yang melibatkan kos RM300,000 itu ialah Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim; Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said;  Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar,  Prof. Dr. Abdullah Mohamad Said dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah. 

Sementara itu, Irmohizam ketika berucap dalam majlis itu mahu para pelajar UiTM memanfatkan penggunaan E-paper Utusan Malaysia untuk perkemba­ngan pendidikan mereka. 

Malah, sebagai warga UiTM katanya, mahasiswa universiti itu perlu bersedia mengadapi dengan cabaran dunia lebih-lebih lagi bagi memastikan Tansformasi Nasio­nal 2050 (TN50) dapat dicapai. 

“Kejayaan mahasiswa tidak boleh dirujuk kepada akademik semata-mata, tetapi juga perlu kepada aspek kemahiran insaniah yang merupakan antara perkara yang dititikberat dan diperlukan negara pada hari ini,” ujarnya.