Pengiktirafan kepada Kumpulan Utusan tersebut disampaikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan kepada Pe­ngarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Istana di sini.

Mohd. Noordin berkata, anu­gerah yang diterima itu membuktikan Kumpulan Utusan turut diiktiraf oleh kaum lain di negara ini.

“Ia juga memberi satu anjakan dari segi pemahaman masyarakat bahawa Kumpulan Utusan tidak hanya mewakili satu kaum.

“Malah Kumpulan Utusan ju­­ga memberi perhatian serta me­ngambil berat tentang sosio­ekonomi dan aktiviti masyarakat kaum lain juga,” katanya ketika ditemui selepas majlis Anugerah Keusahawanan Muda India Perdana 2016 hari ini.

Yang turut hadir, penasihat Koperasi Usahawan India Malaysia Berhad (KUIMB), Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam ser­ta Pengerusi KUIMB, M. Mathu­rai­veran.

Lebih 1,000 jemputan yang terdiri daripada ahli perniagaan serta usahawan pelbagai bidang menghadiri majlis gilang gemilang itu.

Seramai 37 orang usahawan muda kaum India antaranya usahawan dalam bidang hartanah, pelancongan, perusahaan makanan dipilih untuk menerima anugerah yang disampaikan oleh Ka Chuan itu.

Dalam pada itu, Mathuraiveran ketika berucap berkata, anugerah tersebut dianjurkan KUIMB sejak 2005 sebagai satu penghargaan kepada usahawan muda kaum India, tokoh-tokoh dan syarikat-syarikat yang berjaya dalam bidang masing-masing.

“Selain itu anugerah ini adalah satu platform kepada usahawan muda untuk bersaing secara sihat dalam bidang perniagaan.

“Anugerah ini juga merupakan refleksi kepada sumbangan yang telah diberikan oleh tokoh-tokoh dalam bidang berkaitan kepada masyarakat negara ini,” katanya.

Menurutnya, majlis anugerah itu juga merupakan satu penanda aras kepada para usahawan dan syarikat-syarikat di negara ini untuk terus bersaing dalam dunia perniagaan yang penuh cabaran pada masa kini.