Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak berkata, syarikat yang sudah ditubuhkan lebih 70 tahun itu berazam untuk menyahut seruan TN50 bagi memastikan akhbar di bawah naungannya tetap relevan dan menjadi akhbar masa depan.

“Dasar inklusif untuk me­nubuhkan KTN50-Utusan ini menunjukkan Kumpulan Utusan selaku salah satu media arus perdana adalah organisasi yang melihat jauh ke hadapan dan bukan hanya melaporkan perkara semasa.

“Ini kerana TN50 adalah sesuatu yang dinamik dan kita mesti sedar landskap dan suasana kehidupan masyarakat kini sedang berubah dengan sangat cepat mengikut peredaran zaman dan kita tidak boleh berada di takuk yang lama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program bual bicara ‘Inspirasiku: TN50 dan Masa Depan Generasi Muda Malaysia’ dan pelancaran KTN50-Utusan di Dewan Besar Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di sini hari ini.

Pelancaran KTN50-Utusan di­sempurnakan oleh Ketua Setia­usaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Tambah Abdul Aziz, KTN50-Utusan merupakan platform terbaik wartawan dan staf dalam kategori belia menentukan hala tuju masa depan media khusus­nya akhbar Kumpulan Utusan.

“Dengan tertubuhnya KTN50-Utusan, kita memberi peluang kepada kakitangan generasi muda untuk mencambah minda memberi input bagi merencana hala tuju akhbar keramat, Utusan Malaysia menjelang TN50.

“Dalam mendepani cabaran dunia kewartawanan yang kini semakin meningkat dengan kemunculan media atas talian dan media sosial, ini merupakan komitmen kami untuk menyahut seruan TN50 dalam memastikan negara mempunyai pengamal media yang dapat mendukung aspirasi untuk menjadi negara yang gemilang dan terbilang,” katanya.