Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas berkata, program tersebut merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya menerusi kerjasama dengan Yayasan Kumpulan Utusan bagi meraikan kanak-kanak istimewa, seterusnya memberikan kegembiraan kepada mereka.

“Kami berbesar hati dengan PDK Cahaya Kasih yang menerima kunjungan ini bagi men­jaya­kan program tahunan Yayasan Kumpulan Utusan ini.

“Kami juga komited menganjurkan program sebegini sebagai salah satu usaha untuk membantu masyarakat yang memerlukan bantuan, sekali gus memupuk rasa kasih sayang antara penghuni PDK bersama Kumpulan Utusan,” katanya.

Yang turut hadir Pengarah Eksekutif Yayasan Kumpulan Utusan, Datuk Dr. A. Ganesan; Pegawai Kebajikan Masyarakat Cawangan Subang Jaya, Sazali Sudin dan Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kumpulan Utusan.

Sementara itu, Pengerusi PDK Pusat Cahaya Kasih, Dr. Tiew Chew Ming berkata, kewujudan pusat berkenaan bertujuan memberi kesedaran kepada keluarga OKU dan masyarakat umum agar dapat menghayati program di situ serta menggalakkan keprihatinan dan tanggungjawab komuniti.

“Selain itu, PDK juga ditubuhkan bertujuan memastikan Akta Orang Kurang Upaya 2008 agar mengikut kehendak yang antara lain menekankan mengenai penggalakan dan pembangunan kualiti hidup dah kesejahteraan OKU.

“Seterusnya, PDK terus komi­ted memperkasakan golongan OKU dan mempercepatkan proses pengupayaan dalam masyarakat inklusif bagi menghadapi cabaran kehidupan pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, PDK tersebut masih kekurangan kelengkapan bagi meningkatkan pembelajaran dan prasarana.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian ke akaun Maybank PDK Cahaya Kasih bernombor 514440527066 ataupun terus ke pusat ber­kenaan.