Biarpun sambutan diraikan pada tanggal 30 Syawal, namun perkara itu langsung tidak menghalang kemeriahan sambutan majlis yang dianjurkan secara bersama antara Kumpulan Utusan, Yayasan Kumpulan Utusan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd. Noordin Abbas berkata, majlis ini merupakan salah satu usaha dalam mendekatkan syarikat penerbitan akhbar berpengaruh itu dengan masyarakat.

“Kita akan teruskan aktiviti kemasyarakatan seperti ini pada masa hadapan kerana melayan dan memberikan yang terbaik (kepada mereka) adalah tanggungjawab sosial.

“Seperti yang dikatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menjadikan masyarakat berbilang kaum agar cintakan negara. Utusan adalah suara masyarakat, sentiasa mendampingi dan bersama masyarakat,” katanya ketika berucap dalam majlis Sentuhan Kasih Aidilfitri 2017 hari ini.

Pada majlis itu, Kumpulan Utusan turut menyumbangkan sebanyak tiga buah kerusi roda kepada golongan istimewa sementara seramai lima orang penerima diberikan kad OKU baharu.

Tetamu istimewa pada majlis itu turut diberikan cederahati, dihiburkan dengan persembahan nyanyian, sesi bergambar studio, cabutan nombor bertuah dan pelbagai lagi aktiviti menarik yang disajikan khas buat mereka.

Majlis yang julung kalinya diadakan ini menerima tajaan daripada pelbagai syarikat dan agensi termasuk Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Segi Seri Group, Great Creation, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dan Q Bistro.

Yang turut hadir, Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalannya, Datuk Othman Mohamad; Pengarah Eksekutif Yayasan Kumpulan Utusan, Datuk Dr. A. Ganesh; Timbalan Pengarah JKM Selangor, Siti Fatimah Ismail dan Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Jamal Ahmed Ali Ahmad. - UTUSAN ONLINE