Mereka yang terdiri daripada anak-anak kakitangan syarikat Kumpulan Utusan yang telah meninggal dunia serta penghuni Pusat Jagaan Darul Sakinah diberi layanan yang cukup istimewa.

Menariknya, kerjasama yang telah memasuki tahun ketujuh itu turut disemarakkan dengan bacaan ayat suci al-Quran serta dimeriahkan persembahan selebriti, Sufian Suhaimi sebagai penghibur acara.

Majlis yang diadakan sempena bulan Ramadan serta meraikan kedatangan Nuzul Quran, esok telah diadakan di Dewan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, di sini petang tadi.

Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada pihak Angkasa kerana begitu prihatin mahu menggembirakan anak-anak yatim tersebut.

"Ibu dan bapa anak-anak yatim ini merupakan kakitangan syarikat yang telah berusaha serta bekerja keras ketika mereka masih hidup, jadi hati kami sentiasa untuk anak-anak ini.

"Harapan kami adalah untuk melihat anak-anak yatim ini berjaya dalam apa jua bidang yang mereka ceburi sekali gus membanggakan arwah ibu bapa masing-masing," katanya.

Turut hadir, Presiden Angkasa, Datuk Fattah Abdullah; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Yang Dipertua Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM), Saifol Bakhtiar Hamik.

Kesemua anak-anak yatim tersebut menerima sumbangan duit raya daripada Yayasan Kumpulan Utusan dan BKUM selain cenderahati daripada syarikat pengeluar minuman jenama Super Squad. - UTUSAN ONLINE