Naib Presiden Kumpulan Saab, Thomas Linden berkata, pihaknya yakin, pesawat itu mampu meng­atasi sebarang ancaman pihak luar berikutan kedudukan negara ini yang terletak dalam lingkungan strategik termasuk kawasan pertikaian antarabangsa.

Katanya, Saab merupakan pene­raju dalam pengeluaran AEWC di samping Amerika Syarikat (AS) dan telah berjaya mengikat kontrak pertama pada Februari lalu bagi membekal pesawat tersebut kepada negara lain termasuk Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

“Pesawat ini mampu diterbangkan secara maksimum sehingga 11 jam tempoh penerbangan dengan ketinggian 35,000 kaki. Ia dilengkapi radar canggih yang mampu mengesan kapal, misil dan juga pesawat musuh.

“Selain itu, ia juga berperanan mengawal sempadan negara ter­utama bagi menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk menjaga kawasan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone),” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Kumpulan Saab merupakan salah sebuah daripada 1,500 syarikat industri pertahanan tempatan dan antarabangsa yang dijangka menyertai Pameran Pertahanan Asia (DSA 2016) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 18 hingga 21 April ini.

Dalam pada itu, Linden berkata, Malaysia mampu memiliki pesawat tersebut berikutan kos lebih efektif dan mampu memberi penjimatan kepada negara ini.

“Walaupun situasi ekonomi Malaysia kini tidak menentu, kami antara pengeluar yang akan menawarkan produk terbaik dengan harga yang minimum. Apa yang penting adalah soal keselamatan.

“Di samping itu, pesawat ini mempunyai daya ketahanan tinggi yang mampu beroperasi antara 30 sehingga 40 tahun,” katanya.