Ketibaan kumpulan tersebut pada pukul 11.21 pagi disambut oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Badlisyah Abdul Ghani di samping ahli keluarga dan saudara mara.

Mereka berlepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah ke tanah air pada pukul 9 malam waktu tempatan (2 pagi Ahad waktu Malaysia).

Badlisyah berkata, sebanyak 47 penerbangan akan membawa pulang kesemua 22,320 jemaah haji bermula hari ini dengan pener­bangan terakhir dijadual tiba di tanah air pada 15 Oktober depan.

Katanya, sembilan orang jemaah tidak berjaya melaksanakan ibadat wukuf kerana masalah kesihatan yang serius.

"Sementara itu, seramai 12 jemaah meninggal dunia, 11 kematian di tanah suci dan seorang ketika di tanah air," katanya kepada pemberita selepas majlis sambut­an kumpulan pertama tersebut.

Badlisyah berkata, pihaknya akan mengadakan sesi post-mortem bagi meneliti maklum balas yang diterima dari semua sudut operasi dan akan memperbaiki setiap kelemahan tersebut pada masa akan datang.

Ujarnya, semua jemaah haji dibekalkan dengan borang penilaian bagi mendapatkan maklum balas perkhidmatan yang disediakan oleh Tabung Haji.

"Maklum balas ini antaranya melibatkan soal kese­lamatan untuk membolehkan penambahbaik­an dilakukan jika ada rungutan," katanya.