Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, sebelum ini pihaknya sudah lama menerima maklumat mengenai kumpulan itu namun tidak dapat mengambil tindakan kerana kekurangan bukti.

“Kumpulan syiah ini bukan baru, saya difahamkan mereka sudah lama bertapak di negeri ini, iaitu antara lima hingga enam tahun, atau mungkin lebih, tetapi mereka ini pandai sembunyikan kegiatan.

“Pihak penguat kuasa sudah berbulan-bulan intip dan kelmarin, barangkali mereka tidak dapat hidu kehadiran pihak berkuasa ketika mengadakan upacara keagamaan yang bercanggah dengan ajaran Islam,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mewakili Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob merasmikan Seminar Bahaya Islam Liberal anjuran Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) di Kelantan Trade Centre (KTC), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah IPTG, Datuk Dr. Johari Mat.

Semalam, media melaporkan seramai 50 individu termasuk wanita dan kanak-kanak dipercayai pengikut syiah ditahan dalam satu operasi di Jalan Sri Cemerlang ketika mereka melakukan upacara keagamaan menjelang sambutan ambang Hari Kebangsaan, kelmarin.

Mengulas lanjut, Mohd. Nassurudin berkata, dalam serbuan itu pihak berkuasa berjaya merampas pelbagai bahan bukti termasuk buku-buku dan bahan bacaan yang dikaitkan dengan ajaran syiah.

“Setakat ini siasatan masih dijalankan oleh pihak berkuasa, namun kita sudah ada bukti mengaitkan mereka dengan syiah. Jadi pendakwaan mungkin akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Ditanya desas-desus mengenai penahanan seorang pemimpin parti politik dalam operasi itu, Nassuruddin berkata, beliau tidak mengetahui perkara itu.

“Itu saya tidak pasti, apa-apa pun, tidak kira dia pemimpin parti politik atau tidak, siapa yang buat kesalahan perlu diambil tindakan,” katanya. - UTUSAN ONLINE