Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kumpulan migran dari Kem Lembah Bekaa, Lebanon itu akan tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang, Selangor pada pukul 10 pagi dengan menaiki pesawat yang disewa khas.

Beliau berkata, seramai lima pegawai dari agensi-agensi di ba­wah Kementerian Dalam Nege­ri (KDN) akan berlepas ke Beirut, Lebanon dalam masa terdekat untuk membuat tapisan aspek keselamatan dan kesihatan kumpulan terbabit.

“Kita juga ingin menentukan hanya golongan migran yang profesional sahaja ditempatkan di Malaysia. Sejurus tiba, kita akan menempatkan kumpulan ini di penempatan sementara yang kondusif di Apartmen Setia Alam, Shah Alam.

“Migran ini tidak akan diberikan pasport Malaysia sebaliknya, kita diberi dokumen perjalanan kecemasan. Jika mereka itu profesional, kita berikan visa dan jika mereka pelajar, kita berikan visa pelajar,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Tabung Kemanusiaan Migran Syria, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Duta Besar Lebanon Ke Malaysia, Ali Daher dan Pengerusi Gabungan NGO Kemanusiaan Syria, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada perbahasan sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Oktober tahun lalu menyatakan persetujuan untuk menerima 3,000 pelarian perang Syria secara berperingkat-peringkat dalam tem­poh tiga tahun akan datang.

Pada 8 Disember lalu, kumpulan pertama lapan orang migran Syria dari dua keluarga selamat tiba di Malaysia.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, penglibatan serta kerjasama daripada sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam Program Penempatan Sementara Migran Syria perlu diwujudkan.

Kata beliau, langkah tersebut dapat memastikan usaha-usaha yang dirancang di peringkat agensi serta jabatan kerajaan terlibat dapat dilaksanakan secara bersepadu dan komprehensif.

“Masyarakat Malaysia sebagai masyarakat prihatin perlu tampil untuk memberi bantuan. Saya telah menulis kepada beberapa organisasi untuk memberi bantuan terhadap perkakas rumah golongan tersebut.

“Orang ramai juga diseru memberi sumbangan kewangan kepada usaha murni ini. Saya harap pihak NGO dapat menghulurkan bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sejumlah 500 migran dari Syria akan dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat pada tahun ini.