Mereka yang juga johan Mulvec Siri 1 itu berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM10,000 dan sijil penyertaan dengan mempertaruhkan video pendek berdurasi empat minit bertemakan Sukan Institusi Pe­ngajian Tinggi (Sukipt).

Ketua kumpulan EZ, Ahmad Arif Ahmad Shauqi, 24, berkata, banyak penambahbaikan yang telah dilakukan pihaknya dalam pembikinan video kali ini berbanding Mulvec Siri 1 dahulu.

Jelasnya lagi, selain jalan cerita yang pantas dan tidak membosankan, konsep suntingan yang diguna pakai pihaknya iaitu menyelaraskan rentak muzik dengan pemilihan visual turut menjadi kekuatan mereka.

“Hasil akhir (video) kali ini digarap dengan jalan cerita yang pantas sesuai dengan tema Sukipt yang dipilih. Secara lazimnya, ia mengisahkan kehidupan seorang lelaki yang mengalami pelbagai perubahan positif selepas beliau terlibat aktif dengan aktiviti sukan.

“Kami tidak menyertai Mulvec Siri 2 kerana ketika itu terlalu sibuk menghadapi semester akhir. Sekiranya penganjuran diteruskan pada tahun hadapan, UIAM sudah bersiap sedia untuk terus mempertahankan kejayaan ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis Penyam­paian Hadiah Mulvec Siri 2 dan Siri 3 oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Kamel Mohamad; Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah.

Selain Ahmad Arif, kumpulan EZ turut disertai oleh Muhammad Abrar Shahrin, 26, dan Raja Muhammad Haqimi Raja Aris Fadillah, 23.

Mulvec merupakan inisiatif kementerian dengan kerjasama Unit Media Baharu Utusan Malaysia dalam mencungkil bakat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk berfikir secara positif dan kreatif.

Pertandingan yang telah me­nganjak kepada siri ketiga itu telah menerima sambutan hangat pelajar berbilang kaum dari IPT awam dan swasta, politeknik serta kolej komuniti.

Dalam majlis itu juga, Siri 2 hanya diumumkan 10 pemenang sagu hati sahaja kerana pihak juri mendapati bahawa tiada penyertaan yang benar-benar menepati tema yang ditetapkan.

Manakala naib johan untuk Mulvec Siri 3 menjadi milik Kelab Media Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah (PSA) dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan sijil penyertaan.

Universiti Malaya melalui kumpulan Connected pula muncul tempat ketiga dan membawa pulang ganjaran wang tunai RM3,000 beserta sijil penyertaan.