Ahmad Zahid berkata, selain itu setiap ahli juga harus mengelakkan berlakunya sebarang masalah dalaman bagi memastikan harapan Presiden untuk menang dengan lebih besar dalam PRU-14 dapat dicapai.

“Paling penting sekali ialah kesatuan pimpinan dan ahli dengan mengenetepikan masalah dalaman.

“Jika kedua-dua ini berjaya dicapai ditambah dengan sokongan daripada rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional (BN) kita mampu mengetuk hati dan minda pengundi termasuk yang di atas pagar agar harapan Presiden dapat diterjemah sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas ucapan dasar Presiden di Dewan Merdeka hari ini.

Dalam pada itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ucapan dasar Presiden parti menjelaskan rakyat hanya mempunyai dua pilihan iaitu sama ada pembangkang atau BN yang terbukti banyak berjasa selama ini.

“Apa yang dibentangkan oleh Presiden bukan sahaja menyuntik semangat para perwakilan dan ahli UMNO tetapi merupakan kad laporan terhadap kejayaan kerajaan yang ditunjang parti,” katanya. - UTUSAN ONLINE