Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, peranan itu perlu dimainkan warga KUIM agar kolej universiti itu terus menjadi contoh dan membantu kejayaan Melaka sebagai sebuah negeri yang maju dan progresif bukan sahaja dalam bidang duniawi malah dalam aspek kerohanian.

“Sebagai contoh, bangunan yang dirasmikan hari ini bukan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya ia bersulamkan hasrat agar KUIM dapat melahirkan anak-anak muda yang bakal menjadi pemimpin dalam pelbagai bidang.

“Selaras dengan pembangunan yang dikecapi negara ketika ini, saya berharap bangunan baharu ini bakal menyuntik semangat warga KUIM untuk menjadi pusat pengajian aliran agama yang utama di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan bangunan akademik baharu Luqman Al-Hakim KUIM di Dataran Siswa kolej universiti itu dekat sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Roslan Ibrahim; Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman; ProCanselor KUIM, Tan Sri Dr. Abu Seman Yusop; Naib Canselor KUIM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Taib Dora dan Pengerusi Bintai Kinden Corp. Berhad (Bintai Kinden), Tan Sri Kamaruzzaman Shariff.

Bangunan Luqman Al-Hakim KUIM mula dibina sejak 2015 oleh Bindai Kinden membabitkan sembilan blok asrama pelajar dan pusat akademik dan aktiviti pelajar.

Menurut Idris, apabila KUIM dinaik taraf sebagai universiti kelak, bangunan akademik itu dapat digunakan untuk melaksanakan pentadbiran yang lebih cekap. - UTUSAN ONLINE