Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, bagaimanapun pihaknya akan mendapatkan maklum balas lebih lanjut mengenai penemuan bersejarah itu sebelum menjalankan usaha-usaha menjadikan ia kawasan menarik untuk dikunjungi.

"Kita akan berusaha sekiranya kita men­dapat kerjasama daripada pihak Malaysia Airports (Malaysia Airports Holdings Berhad) dan kementerian berkaitan temasuk Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Kementerian Pengangkutan.

“Saya akan melihat sendiri keadaan kubu ini yang juga penemuan menarik untuk negeri Perak bagi menjadi satu daripada aspek pelancongan terutama kepada orang ramai yang mahu melihat dan merasai sendiri kubu semasa Perang Dunia Kedua itu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas meninjau keadaan kawasan pantai Tanjung Kepah, Lekir di sini, hari ini yang akan dijadikan kawasan rehat dan riadah baharu tidak lama lagi.

Kubu yang ditemukan Kumpulan penyelidik Malaya Historical Group, tiga hari lepas, dibina dengan keluasan 2.8 meter dan 2.8 meter persegi (30 kaki x 30 kaki) sekitar tahun 1940 untuk memberi perlindungan kepada tentera British daripada serangan udara musuh.

Sementara itu Zambry berkata. pantai Tanjung Kepah berpotensi menjadi kawasan tarikan pelancong di daerah Manjung selain menjadi kawasan rehat dan riadah untuk masyarakat setempat.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan awal sebanyak RM100,000 bagi memulakan kerja-kerja pembangunan di sepanjang satu kilometer kawasan tersebut.

“Potensi (sebagai kawasan pelancongan) ada dan kawasan ini dipenuhi pokok api-api dan bakau yang perlu dijaga selain lokasi ini menjadi satu daripada kawasan kegiatan masyarakat mencari siput dan sebagainya.

“Pembangunan itu turut melibatkan pembinaan taman kanak-kanak, wakaf dan trek basikal lasak serta gerai-gerai yang akan dibina secara berperingkat,” katanya. - BERNAMA