Pengerusi Lembaga Pengelola Institut Sains dan Teknologi Darul Ta'zim (Instedt), Datuk Seri Syed Hussein Abdul Kader Al-Habshee berkata, golongan muda perlu meneruskan usaha menimba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin bagi menghadapi cabaran masa depan yang semakin hebat.

“Bagi saya, segulung diploma tidak mencukupi, graduan perlu terus berusaha untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Bagi tujuan itu, graduan boleh memilih untuk mengikuti pengajian sama ada dalam mahupun luar negara,” katanya dalam Istiadat Konvokesyen Instedt Ke-12 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif Instedt, Datuk Shahrul Azila Mohd. Salleh; Ketua Eksekutif Instedt, Prof. Madya Dr. Mat Jizat Abdol dan Ketua Pegawai Eksekutif Instedt, Datin Hariza Hashim.

Seramai 351 graduan daripada 11 program menerima diploma masing-masing termasuk Diploma Kejururawatan, Diploma Perakaunan, Diploma Pengurusan Perhotelan, Diploma Grafik dan Media Digital serta dua bidang baharu iaitu, Diploma Perbankan dan Kewangan Islam dan Diploma Kesetiausahaan Kesihatan.

Syed Hussein turut berbangga dengan kualiti pendidikan di Ins­tedt yang setanding dengan kolej mahupun universiti lain dalam negara ini.

“Setiap tahun, Instedt digredkan dengan Gred A dan Gred A+ oleh Panel Penilaian Audit Kualiti Akademik Kolej Bersekutu Universiti Teknologi Mara (UiTM), sekali gus menunjukkan Instedt berjaya meneruskan kesinambung­an budaya jaminan kualiti dalam semua aspek akademik dan pengurusan,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Pengerusi Eksekutif, S. Joanne mengakui kejayaan itu merupakan permulaan baginya untuk terus cemerlang dalam pengajian seterusnya.

“Kejayaan ini bukan kejayaan peribadi, tetapi hasil sokongan dan dorongan ahli keluarga, khususnya kedua ibu bapa,” katanya yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif 3.94 bagi program Dip­loma Pengurusan Perhotelan.