Timbalan Perdana Menteri menegaskan, kuasa memberi kebenaran bagi perjumpaan seum­pama itu tertakluk kepada pihak Penjara Sungai Buloh, Selangor.

“Saya tidak menyentuh ber­kenaan perkara-perkara operasi agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Maknanya, bukan kerana menteri. Kuasa itu pada dia (pihak penjara). Saya berikan kepercayaan sepenuhnya kepada ketua-ketua jabatan di bawah KDN,” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.

Dr. Mahathir semalam dilaporkan mendakwa arahan larangan perjumpaan beliau dengan Anwar dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri.

Dalam pada itu, Ketua Pe­ngarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar menjelaskan, keputusan untuk tidak memberi kebenaran itu datang daripada pihak Penjara Sungai Buloh dan bukan keputusan Timbalan Perdana Menteri.

Jabatan Penjara dan Penjara Sungai Buloh katanya, tidak pernah menerima permohonan secara rasmi daripada Dr. Mahathir atau pihak beliau bagi menemui Anwar, kalau ada permohonan pihak penjara boleh pertimbangkan.

“Seksyen 26 Akta Penjara 1995 menetapkan bila seseorang banduan berada di hospital, dia masih di bawah kawalan dan bidang kuasa pihak penjara.

“Kelulusan untuk berjumpa bergantung kepada kebenaran pegawai yang menjaga penjara terbabit dan bila mahu melawat, kita juga kena lihat sama ada banduan terbabit mahu atau tidak berjumpa pelawatnya,” katanya.

Tambah beliau, pihak penjara juga melihat kepada keperluan mendesak, sama ada perlukah perjumpaan itu diadakan dan kalau ada memberi kesan atau implikasi kepada penjara, pertemuan tidak akan benarkan.

“Kita juga bimbang kalau dibenarkan berjumpa akan timbul perkara kontroversi malah turut melihat soal keselamatan banduan, bimbang wujud ancaman terhadapnya dan perkara yang tidak baik kesan pertemuan itu,” katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut melancarkan pasport baharu dengan ciri-ciri keselamatan yang lebih baik dalam memastikan dokumen itu tidak dapat dipalsukan serta menampilkan teknologi-teknologi canggih antaranya biometrik, keupayaan pengecaman wajah dan penggunaan cahaya ultraviolet untuk memeriksa ketulenannya.