Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana kerajaan sentiasa mahu menekankan pendidikan berkualiti dalam agenda pendidikan negara bagi melahirkan modal insan terbaik dalam semua aspek.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, kebanyakan pemimpin di negara ini juga lahir daripada kejayaan sistem pendidikan negara ini yang dibentuk dengan baik.

“Mengapa kerajaan perlu mela­bur dengan jumlah yang cukup tinggi dalam bidang itu... Ertinya kerajaan ada fokus dari segi modal insan, kerajaan mahu lihat Malaysia menjadi sebuah negara maju.

“Dan insha-Allah pada TN50 sasaran kerajaan ingin pastikan kira-kira 60 peratus tenaga kerja kita memiliki sekurang-kurang­nya diploma atau ijazah pertama,” katanya dalam Sesi Bersama Kepemimpinan Negara sempena Minggu Haluan Siswa Pelajar Baharu Program Sarjana Muda di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi dan Naib Canselor UTHM, Prof. Dr. Wahid Razzaly.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, biarpun ada pihak me­nuding jari bahawa sistem pendidikan negara ini salah, namun hakikatnya mereka yang berbuat demikian perlu melihat kesalahan mereka sendiri.

"Pemimpin sebenarnya harus dibentuk dan bukan dilahirkan. Kami tidak dilahirkan sebagai pe­mimpin tetapi kami dibentuk sebagai pemimpin kerana sistem pendidikan negara ini yang baik.

“Jadi, mana mungkin saya berdiri di hadapan tuan-tuan hari ini jika tanpa sistem pendidikan negara yang baik," katanya.

Beliau berkata, mahasiswa masa ini amat beruntung kerana kerajaan memberi keutamaan terhadap aspek fizikal dan kerohanian bagi memastikan golo­ngan millenia itu berjaya sekali gus memenuhi sektor pekerjaan pada masa akan datang.