Ketua Penolong Pengarah Ja­ba­tan Perangkaan Malaysia, Dr. Fam Soo Fen berkata, kemunduran itu diukur berdasarkan 23 jenis ukuran pemboleh ubah di bawah Indeks Umum Kemunduran (GID).

Beliau berkata, pihaknya menjalankan kaji selidik GID selama 30 tahun dengan tiga peringkat perbandingan iaitu pada 1991, 2000 dan 2010.

“Keperluan asas penduduk ma­sih menjadi masalah utama kepada daerah-daerah tertentu di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam pembangunan sosioekonomi ini.

“Kemudahan tempatan tidak lengkap turut menjadi satu daripada faktor kemunduran tersebut berte­rusan,” katanya sewaktu menjadi panel Persidangan Statistik Serantau Institut Statistikal Antarabangsa (ISI), di sini hari ini.

Persidangan itu dirasmikan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Seramai 500 anggota delegasi dari 40 buah negara menyertai persidangan itu.

Soo Fen menambah, masih berlaku ketidakseimbangan sosioeko­nomi dalam 81 daerah pentadbiran di Semenanjung berdasarkan kaji selidik yang dijalankan pihak itu selama 30 tahun, sekali gus menunjukkan jurang pembangunan yang ketara.

Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu memberi perhatian yang lebih khusus terhadap daerah-dae­rah mundur ini selain menyediakan kemudahan-kemudahan asas de­ngan matlamat merapatkan jurang ketidakseimbangan sosioekonomi antara daerah-daerah di Semenanjung.

Jelasnya, perhatian itu amat penting kerana kemunduran di daerah-daerah tertentu berlaku dalam tempoh yang sangat panjang.

Sementara itu, Pegawai Kanan Kerajaan Ko­rea, Bongho Choi ber­kata, kajian yang dijalankan pihaknya dari 1986 sehingga 2014 me­nunjukkan rakyat negara itu masih lagi tidak berpuas hati terhadap kese­jahteraan hidup walaupun diiktiraf sebagai negara maju.

Katanya, kajian itu menunjukkan peratusan menyusut berterusan dari tahun ke tahun dalam banyak kate­gori di Korea termasuk dalam kate­gori pengambilan pekerjaan dalam kalangan generasi muda.

“Jumlah masa melakukan pekerjaan di Korea juga tertinggi berban­ding negara-negara dalam kelompok Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

“Begitu juga kadar obesiti me­ningkat setiap tahun di Korea yang kini mencecah 32.4 peratus pada tahun 2013,” ujarnya.