Akibat daripada aktiviti tersebut juga menyaksikan dua batang sungai yang menjadi nadi utama taman berkenaan iaitu Sungai Koh dan Sungai Lebir terus tercemar dan lebih menyedihkan kegiatan itu turut menjejaskan kehidupan kaum pribumi di kawasan terbabit.

Kini selepas setahun, Taman Negara Kuala Koh didapati masih tidak berubah di mana aktiviti tidak bertangungjawab itu masih berlaku walaupun tindakan telah diambil sebelum ini.

Malah kesan daripada aktiviti pembalakan dan penerokaan tanah itu juga telah menyebabkan keba­nyakkan masyarakat Orang Asli suku Batek di kawasan berkenaan kini telah berpindah.

Tiada apa lagi yang mampu diharapkan masyarakat Orang Asli kawasan berkenaan apabila mendapati penempatan mereka sejak 100 tahun lalu itu terus berhadapan ancaman.

Tinjauan semula Utusan Malaysia di kawasan berkenaan baru-baru ini mendapati kawasan pelancongan yang terletak kira-kira 70 kilometer dari jalan utama Gua Musang-Kota Bharu itu masih tidak berubah dengan aktiviti pe­nerokaan hutan tanpa kawalan te­rus dilakukan.

Dapat disaksikan dengan jelas kebanyakkan bukit dan hutan di berhampiran Taman Negara tersebut sudah gondol manakala aktiviti pembalakan terus dijalankan.

Malah difahamkan, ketika ini hanya terdapat 37 keluarga masyarakat Orang Asli yang masih bertahan di perkampungan tersebut, manakala separuh lagi sudah berpindah.

Rata-rata daripada mereka difahamkan telah meninggalkan perkampungan tersebut untuk memulakan kehidupan baharu di sekitar Tasik Kenyir, Terengganu.

Penghulu Kampung Orang Asli Kuala Koh, Hamdan Keladi berkata, kebanyakkan penduduk di kawasan ini sudah berpindah, hanya tinggal segelintir yang meneruskan kehidupan di sini.

Katanya, kawasan ini sudah tidak sama seperti dahulu dimana pada ketika itu suasananya begitu tenang dan penduduk bebas mencari rezeki.

Kini katanya, sumber pendapatan mereka melalui aktiviti mencari rotan dan kayu gaharu telah terjejas ekoran daripada aktiviti pene­rokaan tanah ini.

“Semasa pemaju ingin membuka ladang di sini, mereka pernah menghalau kami. Tetapi takkan kita nak lari kerana ini kawasan kami.

“Kerana susah mahu cari makan, masyarakat di sini juga terpaksa berhijrah sehingga ke Tasik Kenyir untuk mencari rezeki,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Johan Taun, 60, berkata, akibat daripada aktiviti pembalakan dan pene­rokaan tanah di kawasan berkenaan kehidupan mereka kini telah terjejas.

“Sekarang ini kami terpaksa menggunakan air tandak bagi ke­perluan harian kerana air Sungai Balai yang menjadi sumber utama mereka sudah tidak dapat digunakan lagi kerana ia sudah tercemar,” katanya.

Sementara itu, Pengurus calet Resort Taman Negara Kuala Koh, Nik Noriza Mohd. Yussof berkata, kesan yang dapat dilihat akibat aktiviti penerokaan tanah adalah daripada segi kualiti air sungai yang sudah tidak sejernih dahulu dan bergelodak apabila hujan turun.

“Saya turut menerima rungutan daripada kaki pancing yang menjadikan Sungai Lebir sebagai lubuk memancing ikan air tawar.

“Jika hujan lebat, pemancing akan pulang lebih awal kerana air akan bertukar keruh,” katanya.

Tambah beliau, pemancing turut menyuarakan kebimbangan mereka jika aktiviti pembajaan sawit di kawasan berkenaan akan mengalir ke sungai berkenaan dan memusnahkan habitat ikan.

“Taman Negara Kuala Koh sudah semakin dikenali oleh pelancong asing, namun jika pihak bertanggungjawab tidak memantau aktiviti penerokaan di kawasan berhampiran, berkemungkinan Taman Ne­­­gara Kuala Koh akan terus terancam,” katanya.