Istiadat yang berlangsung mulai 3 hingga 17 Mei amat bersejarah bukan sahaja untuk negeri ini malah untuk negara amnya kerana peristiwa seumpama itu disaksikan buat kali terakhir 30 tahun lalu sewaktu pertabalan Almarhum Sultan Azlah Shah.

Peristiwa penting itu juga ternyata telah merubah wajah Bandar Diraja tersebut yang kali terakhir menjadi tumpuan umum semasa istiadat perkahwinan antara Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, kira-kira lapan tahun lalu.

Terletak 48 kilometer dari bandar raya Ipoh, Kuala Kangsar merupakan salah sebuah Bandar Diraja di Malaysia selain daripada Arau di Perlis, Pekan di Pahang, Shah Alam di Selangor, Seri Menanti di Negeri Sembilan, Johor Bahru di Johor, Kuala Terengganu di Terengganu, Kota Bharu di Kelantan dan Anak Bukit di Kedah.

Kuala Kangsar yang berkeluasan 204.94 kilometer per segi terbahagi kepada sembilan buah mukim iaitu Sungai Siput, Kota Lama Kanan, Kota Lama Kiri, Pulau Kamiri, Cecar Galah, Senggang, Lubuk Merbau, Kampung Buaya dan Sayong.

Secara geografi, bandar Kuala Kangsa terletak di hulu Sungai Perak dan dikelilingi oleh banjaran Bintang di sebelah utara manakala banjaran Keledang di sebelah selatan.

Menurut sejarah, Kuala Kangsar mendapat namanya daripada pokok kangsar atau nama saintifiknya hibiscus flocossus yang banyak tumbuh di tebing Sungai Kangsar, anak Sungai Perak.

Satu versi lagi mengatakan nama itu diperoleh daripada para peneroka yang membuka penempatan di kuala sungai itu dengan panggilan 'Kuala Kurang Sa' bermakna kurang satu daripada 100 kerana terdapatnya 99 anak sungai di situ.

Sebagai bandar tertua di Perak, Kuala Kangsar terkenal dengan pelbagai perkara, antaranya bangunan lama dan bersejarah yang masih kekal berfungsi hingga ke hari ini.

Bangunan tersebut ada yang sudah berusia lebih seratus tahun namun masih kukuh dan digunakan sebagai tempat bersemayam sultan, galeri, sekolah, rumah ibadah dan lain-lain.

Selain itu, pokok getah pertama ditanam di Malaysia yang berusia lebih 100 tahun juga di tanam di bandar ini dan ia masih hidup di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar.

Selain itu Bandar Diraja ini juga cukup terkenal dengan industri kraf tangan seperti labu sayong, tekat benang emas dan barangan perak dan tembaga yang masih kekal hingga ke hari ini.

Begitu juga dengan pelbagai juadah air tangan penduduknya termasuk laksa gandumnya yang cukup terkenal berbanding laksa tepung beras utara dan lebih enak jika dimakan bersama cendol ataupun ais kacang di gerai di tepi sungai.

Kuih-kuih tradisional di bandar itu juga masih mengekalkan masakan cara tradisi dengan kuih apam tepung beras antara yang terkenal.

Selain itu, bandar tepi sungai itu juga terkenal dengan masakan gulai tempoyak ikan patin, ikan baung dan ikan sungai yang pasti membuka selera siapa sahaja yang mencubanya.