Presidennya, Lt. Kol. (B) Sarbini Tijan berkata, Tren Ekspres Peninsular itu akan bermula dari Johor Bahru hingga ke Hatyai dengan melalui 34 buah stesen, kecuali stesen Bukit Mertajam dan Stesen Butterworth.

Beliau berkata, Peninsular mengambil nama daripada perkataan asal Semenanjung Malaysia kerana perkhidmatan tren itu merentasi negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia.

“Tren Ekspres Peninsular menawarkan perkhidmatan sebanyak dua kali sehari iaitu bermula di Stesen JB Sentral pada pukul 5 petang dan tiba di Stesen Hatyai pada pukul 11.40 pagi keesokan harinya.

“Sementara itu bagi perjalanan dari Stesen Hat Yai pula, ia bermula 6.45 petang dan dijangka tiba di Stesen JB Sentral pada pukul 4.25 petang keesokan harinya,” katanya kepada pemberita sempena Prapelancaran laluan berkenaan di sini hari ini.

Majlis pelepasan tren laluan berkenaan disempurnakan oleh Pengarah Tourism Malaysia Johor, Edzuar Zar Ayob Azari dan turut dihadiri Pengurus Kanan Pemasaran KTMB Antara Bandar, Mohd. Noordin Kimi.

Menurut Sarbini, Tren Ekspres Peninsular mampu menampung jumlah penumpang antara 600 hingga 1,000 di dalam 10 koc yang selesa dan canggih.

Tambahnya, KTMB menjangka perkhidmatan itu mendapat sam­butan yang baik daripada pelanggan domestik serta pelancong asing yang ingin melihat keindahan alam semula jadi negara di sepanjang perjalanan.

“Dengan pengenalan tren berke­naan, ia dijangka memberi impak positif kepada pelancongan negara. Tiket bagi laluan berkenaan ialah RM100 dan sangat berpatut­an,” katanya.