Pengerusinya, Abd. Rahaim Md. Isa berkata, kos pembinaan sekolah tersebut sebanyak RM30,000, manakala selebihnya untuk membeli buku dan peralatan lain seperti meja dan kerusi.

"Sekolah ini juga akan dijadikan madrasah bagi kira-kira 50 anak orang kampung yang tidak ada tempat untuk belajar selepas sekolah mereka roboh akibat gempa tersebut.

"Pembinaan sekolah yang akan dilakukan secara bergotong-royong oleh orang kampung ini dijangka dapat disiapkan dalam masa seminggu," katanya selepas menyerahkan sumbangan tersebut kepada Ketua Kampung berkenaan, Sunarap Ahmad Kemar.

Selain beberapa ahli KRS Musleh, delegasi misi kemanusiaan ke Lombok selama tiga hari yang berakhir semalam diketuai oleh Pengerusi MyCare Johor, Dr. Mohd. Zin Kandar dan turut disertai Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam dan Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor.

Abd. Rahaim berkata,  pihaknya turut memberi sumbangan sebanyak RM1,000 bagi pembinaan semula Masjid Al-Munawarah di Kampung Sembalun yang terletak di kaki Gunung Rinjani.

"Walaupun jumlah sumbangan ini tidak seberapa, namun diharap dapat membantu penduduk kampung membina masjid yang baharu demi keselesaan mereka. - UTUSAN ONLINE