Ketua Pengarah Jabatan Kerjasama Antarabangsa, Kementerian Kesihatan Palestin, Dr. Ashraf Abu Mahadi berkata, krisis elektrik yang berpanjangan kerap berlaku dengan purata antara 16 hingga 20 jam sehari.

Menurut beliau, krisis bahan api juga telah menjejaskan usaha memastikan bahan api bagi kegunaan fasiliti-fasiliti di bawah Kementerian Kesihatan Palestin sentiasa mencukupi.

“Menerusi dana yang diterima dari Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan geran Bank Pembangunan Islam (IDB) pada Februari lalu, kami mampu menyediakan bahan api yang diperlukan untuk perkhidmatan kesihatan sehingga pertengahan Ogos ini.

“Sekiranya pembiayaan itu tidak diteruskan, sektor kesihatan di Gaza akan terjejas sekali gus menimbulkan risiko terhadap nyawa para pesakit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Dr. Ashraf, penggunaan mesin penjana kuasa dan penyelenggaraannya akan menambah beban yang ditanggung sektor kesihatan Palestin.

“Jumlah minimum bahan api yang diperlukan untuk memenuhi keperluan 13 buah hospital di bawah Kementerian Kesihatan adalah kira-kira 450,000 liter sebulan, “ jelasnya.

Berikutan situasi yang tidak stabil di Gaza serta masalah kekurangan dana yang dihadapi, beliau merayu semua pihak termasuk masyarakat antarabangsa menyumbang dana bagi membiayai kos bahan api yang diperlukan untuk operasi hospital-hospital di Gaza. - UTUSAN ONLINE