Pengumuman Konsert Romansa yang bakal diadakan pada 24 hingga 26 Februari hadapan dibuat pe­nyanyi berkenaan dalam sidang akhbar di sini hari ini.

“Tentunya saya berbangga kerana diberi penghormatan untuk mengadakan konsert di Istana Budaya yang sudah menjadi impian sejak dahulu lagi.

“Tambahan pula saya sendiri sudah lama tidak ke Kuala Lumpur untuk menyertai acara besar di sana, pastinya kesempatan ini akan digunakan sebaik-baiknya untuk memberikan persembahan menarik kepada peminat di sana,” kata Krisdayanti.

Sebelum ini, penyanyi Rossa pernah mengadakan persembahan solo di lokasi yang sama dan Krisdayanti menjadi pe­nyanyi kedua dari Indonesia yang diberikan kepercayaan untuk me­ngadakan konsert selama tiga malam berturut-turut.

Sepanjang tiga malam per­sembahan itu kelak, Krisda­yanti bakal menyanyi hampir 30 buah lagu popular termasuklah lagu di dalam album Menghitung Hari yang telah memperkenalkan na­manya ke Malaysia pada tahun 1998.

“Pastinya seleksi lagu yang akan dinyanyikan nanti akan lebih dekat di hati penonton Malaysia termasuklah dua la­gu Inggeris yang baru sahaja dirakamkan di Amerika Syarikat baru-baru ini.

“Saya yakin peminat-peminat saya akan hadir memberikan sokongan dan ternanti-nantikan konsert berskala besar begini,” tambahnya yang serang giat mempromosikan lagu Sleep To Dream dan In Love Again.

Menganggap peluang yang diberikan sebagai titik tolak kemunculan semula di perasa muzik Malaysia, tentunya dia sudah merencanakan bentuk persembahan yang akan ditampilkan nanti.

Konsert yang dibawakan oleh Neo Global Sdn. Bhd. itu turut menampilkan Aubrey Suwito sebagai pengarah persembahan dan menggunakan sepenuhnya pemuzik tempatan. – utusan