Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, fokus akan terarah kepada 'satu produk  satu daerah' dengan keunikan tersendiri agar benar-benar menjadi tarikan dengan pengusaha pelancongan perlu turut membantu mengetengahkan idea lebih kreatif dalam memberi nilai tambah.

"Aspek pelancongan Terengganu yang cukup unik seperti tempat, kesenian, makanan dan kraftangan seperti ukiran, songket dan batik akan menjadi kekuatan kepada negeri ini untuk terus menarik lebih ramai pelancong.

"Sebagai contoh, rumah tradisional Haji Su di Losong di sini akan dijadikan model asas pelancongan dengan menempatkan keunikan Terengganu sebagai daya tarikan," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Bantuan Insentif  kepada pengayuh beca dan bot penambang sempena sambutan kedatangan pelancong awal 2018 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini pagi ini.

Yang turut hadir, Pegawai Kewangan negeri, Datul Abdul Rahman Yahya; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Azmi Razik dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Tengku Farouk Hussin Tengku Abd. Jalil.

Program yang serupa diadakan di sempadan Kemaman dan Besut bagi menyambut kedatangan pelancong melalui dua negeri berjiran pada hari ini.

Beliau menambah, selain Tasik Kenyir, kerajaan negeri juga akan membangunkan kawasan penemuan Batu Bersurat di Hulu Terengganu sebagai destinasi pelancongan sejarah di samping menghidupkan semula Rantau Abang di Dungun yang terkenal sebagai pendaratan penyu pada waktu dahulu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga akan meningkatkan promosi untuk menarik pelancong yang lebih hampir dengan Terengganu seperti Singapura dan Australia selain pelancong tempatan.

Sempena dengan majlis itu juga, seramai 67 orang  pengayuh beca dan pengusaha bot penambang menerima bantuan sebanyak RM600 setiap seorang bagi insentif sepanjang tiga bulan lalu.

Menteri Besar berkata, melalui pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini kerajaan negeri bersetuju untuk meneruskan bantuan insentif kepada golongan berkenaan sebanyak RM200 sebulan. - UTUSAN ONLINE