Menerusi pendekatan itu, Besut yang terkenal dengan produk ukiran kayu akan diberikan penjenamaan semula dalam membantu meningkatkan lagi pengeluaran dan pendapatan 32 usahawan daripada 12 kampung di sini yang terlibat.

Peningkatan pendapatan itu didorong oleh pertambahan pengeluaran produk dan jualan usahawan yang disasarkan antara lima hingga 10 peratus dalam tempoh setahun sekali gus memberi impak kepada ekonomi penduduk setempat di samping mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Majlis perasmian program Kraf Kampungku disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah di Desa Ukiran Kayu, Kampung Raja, di sini semalam.

Yang hadir sama, Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri II, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman.

Terdahulu program sama dilaksanakan di Kraf Kampungku Seramik, Kuala Kangsar di Perak; Kraf Kampungku Anyaman Buluh di Batu Lunguyan, Sook Keningau (Sabah); Kraf Kampungku Parang, Lawas (Sarawak) dan Kraf Kampungku Tenun Pahang Diraja, Pekan (Pahang). - UTUSAN ONLINE