AMEER ALI MYDIN

Pengarah Urusannya, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin berkata, hal itu memang terkandung dalam perjanjian yang mana kerajaan berhak menamatkan kontrak Mydin jika syarikat itu gagal memenuhi hasrat menjayakan KR1M yang bertujuan menawarkan harga barangan runcit pada harga rendah.

Menurut beliau, syarikatnya tu­rut menanggung kerugian ter­sendiri apabila mengendalikan KR1M dan menegaskan tidak pernah sesekali cuba mengambil ke­sempatan dengan mengaut untung berlebihan menerusi kedai itu.

“Tidak dinafikan terdapat barangan yang tidak boleh dielakkan daripada dikenakan harga yang lebih tinggi berbanding diharapkan. Tetapi tindakan itu dibuat atas alasan tertentu terutama tekanan ekonomi serta tanggungan pelbagai kos logistik.

“Kami telah memberi komitmen 100 peratus bagi menjayakan program ini, namun akan akur sekiranya kerajaan mahu menamatkan kontrak syarikat. Kami rela hati melepaskan KR1M dan diberikan kepada pihak-pihak yang berminat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menamatkan segera kontrak syarikat mengendalikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang menjual produk jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan memberikan peruntukan kepada syarikat ber­kenaan untuk memastikan produk yang dijual le­bih murah.

Pada masa sama, kata Ameer, pelancaran KR1M merupakan salah satu daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) Mydin untuk membantu kerajaan menjaga kepentingan rakyat dan program sedemikian tidak memberi keuntungan kepada syarikatnya.

Pada Disember lalu, kajian oleh agensi penarafan tempatan, RAM Ratings menunjukkan Mydin mencatatkan kerugian sebelum cukai sekitar RM170 juta bagi tahun kewangan berakhir Mac 2016 atas beberapa faktor berkaitan tekanan ekonomi.