Dua lelaki terbabit yang dipercayai menyamar sebagai kakitangan Institut Al-Quran (IQ) dikatakan mengunjungi kediaman sebilangan penduduk sekitar daerah ini dengan mengutip derma kononnya bagi keperluan anak yatim di negara mereka.

Pegawai Tadbir (Korporat & Jaringan Luar) KQT, Nuratiqah Rusdi berkata, pihaknya kesal dengan kejadian itu malah menegaskan, KQT tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan kepada mana-mana kakitangannya untuk mengutip derma.

Menurut beliau, pihaknya berasa terpanggil untuk tampil membuat penafian memandangkan kegiatan mengutip derma yang dilakukan dua lelaki terbabit dipercayai dari Timur Tengah turut mengaitkan nama IQ Terengganu yang merupakan nama asal KQT.

"KQT sebelum ini dikenali sebagai IQ, jadi kami kesal dengan kutipan derma seperti ini yang turut mengaitkan kami sedangkan, tiada sebarang arahan dkeluarkan untuk menjalankan kegiatan seumpama ini.

"Kami mula menyedari perkara ini hasil perkongsian dengan seorang pengguna laman sosial mengenai kegiatan dua lelaki warga asing ini yang bergerak mengutip derma dari rumah ke rumah," katanya di sini hari ini.

Tambah Nuratiqah, berikutan itu, pihaknya akan membuat laporan polis mengenainya dalam waktu terdekat ini. - UTUSAN ONLINE