Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, usaha ke arah itu kemungkinan dapat dipercepatkan jika terdapat keperluan, dan adanya kesediaan pihak swasta atau individu yang sedia mewakafkan premis mereka untuk dijadikan pusat pengajian.

"Dari segi tenaga pengajar, kita tak ada masalah kerana boleh panggil para pensyarah dan qari-qari untuk berkhidmat di institusi itu nanti," jelasnya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Haflu Al-Takrim Al-Sanawi KQT di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pengelola KQT, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM); Ketua Eksekutif KQT, Prof. Madya Dr. Ahmad Bazli Shafie serta timbalannya, Zulkifli A. Kadir.

Dalam majlis anjuran bersama KQT dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu, seramai 20 pelajar menerima diploma manakala 270 pelajar lagi menerima sijil.

Sementara itu, beliau memberitahu, KQT di Padang Midin dekat sini yang kewujudannya bagi melahirkan ilmuan tahfiz merancang menambah lima lagi program pengajian baharu untuk sesi pengambilan tahun 2019 nanti.

Ini melibatkan pengajian al-Quran dan hadis, al-Quran dan Tafsir, al-Quran dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Al-Quran dan Muamalat serta al-Quran dan Pengurusan.

"Menjelang tahun 2019, KQT bersedia membuat pengambilan pelajar mencecah 300 orang," jelas beliau

Jelas beliau, pada masa ini terdapat 89 pelajar yang sedang mengikuti pengajian peringkat diploma dalam bidang Tahfiz Qiraat dan Tahfiz Bahasa Arab di KQT.

"Biasanya, pengambilan pelajar baharu dibuat setahun sekali iaitu pada bulan Mei dengan 60 orang pelajar untuk setiap pengambilan bagi mengikuti dua program pengajian yang kita sediakan iaitu Tahfiz Qiraat dan Tahfiz Bahasa Arab.

"Peluang menyambung pengajian di KQT terbuka kepada semua, bukan terhad pada anak Terengganu saja. Namun untuk pengambilan pelajar luar negara, buat masa ini kita masih belum bersedia ke arah itu," jelasnya. - UTUSAN ONLINE