Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, berdasarkan rekod dan statistik, sebanyak sembilan peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar di kelas peralihan seluruh negara dikesan aktif dalam hubungan seks.

Katanya, beliau sendiri akan mengadakan perbincangan dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Ni Ching.

"Pada masa ini semua pihak harus bekerjasama dan berkongsi idea dalam mengatasi masalah hubungan seks di kalangan pelajar.

"Bagi saya, statistik sembilan peratus pelajar kelas peralihan terbabit dalam hubungan seks bebas adalah satu jumlah yang besar," katanya selepas merasmikan penutup Forum Kes Penderaan Kanak-kanak Semakin Meningkat: Adakah Undang-undang Kurang Berkesan? di Maktab PDRM Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut Hannah, pada mesyuarat antara kementeriannya dan Kementerian Pendidikan itu, satu solusi akan diputuskan dalam memastikan mata pelajaran pendidikan seks dapat dilaksanakan di semua peringkat sekolah.

Jelasnya, sekiranya kita tidak mengajar kanak-kanak ini tentang pendidikan seks mengikut perkembangan semasa mereka akan mengetahuinya melalui media sosial yang jika tidak digunakan dengan cara yang betul akan menghancurkan satu generasi.

"Dalam zaman serba moden ini remaja seawal usia 13 tahun sudah tahu tentang apa itu seks namun mereka perlu diberikan maklumat yang betul tentang perkara itu.

"Justeru pengajaran dalam mata pelajaran pendidikan seks ini adalah amat penting dalam menyampaikan sesuatu perkara yang benar kepada anak-anak kita," katanya. - UTUSAN ONLINE