Pengarah Kampus Kesihatan USM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur KPTM 2018 Zon Kelantan, Profesor Datuk Dr. Ahmad Sukari Halim berkata, karnival itu diadakan bagi memberi pendedahan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi dan Diploma sebelum membuat pilihan untuk melanjutkan pelajaran.

“Pelaksanaan KPTN adalah untuk mempromosi dan menyebarluas maklumat mengenai program pengajian sedia ada serta program baharu yang ditawarkan oleh Universiti Awam (UA); Politeknik; Kolej Komuniti; Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA); Bahagian Matrikulasi (BMKPM); Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan institusi - institusi lain bagi Sesi Akademik 2018/2019.

“Karnival ini juga untuk mendidik dan memupuk kesedaran dalam kalangan pemohon dan masyarakat awam mengenai permohonan ke institut pengajian tinggi (IPT) melalui aplikasi dalam talian,” ujarnya.

Antara aktiviti lain yang akan diadakan sepanjang karnival itu ialah keusahawanan pelajar, pemeriksaan kesihatan, khidmat runding cara, cabutan bertuah, kempen derma darah, dan seminar kemasukan pelajar.

KPTN 2018 Zon Kelantan yang bertemakan “Maghi Belako Masuk IPT” bakal dimeriahkan dengan kehadiran beberapa Ikon Malaysia seperti Fatin Nurfatehah Mat Salleh (Atlet Memanah Negara); Sarah Chak (DJ Hot FM); Kumpulan USM Busking dan Adikarma serta ramai lagi. - UTUSAN ONLINE