Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kerjasama antara KPT dengan pihak keselamatan negara sentiasa dilakukan supaya gejala negatif itu dapat dibendung di peringkat awal.

“Kemungkinan (menyertai kumpulan gangster, buli dan kumpulan militan) sentiasa ada, kita tak boleh nafikan ianya boleh berlaku. Sebab itu kita minta pensyarah-pensyarah dan naib-naib canselor supaya bersiap sedia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Lestari Advance Technology Sdn. Bhd. (LATSB) di sini sebentar tadi.

MoU tersebut bagi membangun dan mengkomersialkan produk teknologi membran bagi sistem penyahgaraman air laut untuk kegunaan komuniti dan industri.

Terdahulu beliau melancarkan konsep bilik kuliah masa hadapan dikenali sebagai Classroom of Future yang merupakan kerjasama antara Pusat Kecemerlangan Inovasi, Media dan Permainan Digital UTM dengan Cisco System Malaysia. - UTUSAN ONLINE