Hasrat itu dinyatakan sendiri oleh Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun yang mahu membantu meningkatkan pendapatan setiap isi rumah kumpulan pekebun kecil.

Beliau berkata, kementeriannya boleh menjadi pemandu arah dalam bidang keusahawanan melalui program sedia ada sebagai alternatif pengukuhan pendapatan jangka panjang.

"Kita faham isu ini maka kita sediakan program peningkatan pendapatan melalui bidang keusahawanan dan pendidikan 'back to school' bagi membantu mereka.

"Inovasi dalam sektor kelapa sawit juga antara langkah awal untuk pekebun meningkatkan taraf hidup mereka bagi tempoh jangka panjang," katanya di sini hari ini.  

Terdahulu beliau menyampaikan taklimat kepada media mengenai Ekspo Inovasi dan Keusahawanan Desa (Inotekdesa) 2018 yang akan diadakan di Melaka pada 15 sehingga 18 November depan.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan keluhan penoreh getah, pekebun kelapa sawit dan nelayan yang semakin terbeban dengan pendapatan yang mengecil berikutan harga komoditi yang merudum ditambah pula faktor cuaca yang tidak menentu.

Rina berkata, meskipun kementeriannya tidak dapat membantu meningkatkan pendapatan para pekebun kecil untuk tempoh jangka pendek berikutan kekangan bidang tugas kementeriannya, namun beliau bersedia berjumpa golongan itu.

Beliau yakin nasib para pekebun kecil akan diberi perhatian oleh Felcra Berhad dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.  - UTUSAN ONLINE