Zuraida Kamaruddin
ZURAIDA KAMARUDDIN

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana kelulusan untuk premis-premis di bawah perlesenan tersebut adalah tertakluk kepada peraturan yang dikenakan oleh pihak Kerajaan tempatan melalui Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang memberi kuasa kepada PBT untuk mengawal selia premis perniagaan.

“Pihak KPKT amat prihatin dengan keadaan ini dan berharap premis-premis yang menyalahgunakan lesen ini dihentikan operasi mereka dengan segera.

“Kerjasama daripada pihak PBT amat diperlukan dalam membasmi perkara ini. Justeru itu, di dalam Dasar Komuniti Negara yang sedang dirangka, kita akan melihat sudut pembangunan masyarakat dari aspek hiburan di dalam komuniti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Utusan Malaysia mendedahkan bahawa terdapat orang tengah yang menawarkan lesen pusat hiburan keluarga pada harga RM35,000 untuk menjalankan operasi judi haram kepada ahli sindiket.

Mengulas lebih lanjut, Zuraida berkata, pihaknya sedar bahawa hiburan bagi keluarga adalah amat penting namun, ia perlu berlandaskan agenda positif dan terhindar daripada sebarang gejala yang boleh merosakkan sesebuah komuniti.

Sehubungan itu, katanya, satu pelan tindakan melalui Dasar Komuniti Negara akan digarap untuk memastikan segala bentuk hiburan atau aktiviti riadah yang dilaksanakan oleh mana-mana premis perniagaan harus mengikut satu garis panduan terperinci agar tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak. - UTUSAN ONLINE