Pengarah Eksekutif Institut Pe­nyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakariah Abdul Rashid berkata, walaupun rata-rata Petunjuk Prestasi Utama (KPI) PEB tertumpu kepada aspek peluang perniagaan dan pemberian kontrak, tetapi menganggap pendekatan sebegitu adalah langkah yang betul untuk meningkatkan pendapatan kaum bumiputera.

Katanya, pemberian kontrak akan mencipta peluang perniagaan, pekerjaan serta kemahiran baharu kepada bumiputera, sekali gus menjadi landasan untuk meningkatkan daya saing kaum itu.

“Bagi menilai sama ada PEB berjaya atau tidak, kita perlu lihat adakah pendapatan kaum bumiputera semakin meningkat. Apapun, KPI yang ditetapkan merupakan satu daripada strategi untuk meningkatkan pendapatan bumiputera,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kejayaan la­pan kementerian mencapai sasaran 100 peratus KPI yang ditetapkan di bawah PEB bagi tahun lepas.

Menurut Perdana Menteri, antara pencapaian utama PEB kementerian dan agensi sepanjang 2016 adalah apabila sebanyak 63.8 peratus nilai anggaran kerja tahunan telah diperuntukkan kepada kontraktor bumiputera dalam projek pembinaan lebuh raya utama seperti Lebuhraya Pantai Barat (WCE), Duta Ulu Klang Expressway 2 (DUKE2), Lebuhraya Ekspres Lembah Klang Timur (EKVE) dan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Pada masa sama Zakariah berkata, bagi melihat PEB terus memberi kesan positif kepada ekonomi bumiputera, kerajaan perlu memastikan kaum tersebut turut menguasai sumber-sumber bahan mentah yang selama ini terlalu didominasi oleh kaum-kaum lain.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad berkata, pihaknya memuji kesungguhan Najib untuk memastikan bumiputera tidak ketinggalan di dalam arus pemodenan ekonomi.

Katanya, PKMM yang mewakili 28,000 kontraktor Melayu pelbagai kelas amat berterima kasih kepada Perdana Menteri yang komited menyediakan peluang perniagaan kepada kontraktor tempatan.

“Berdasarkan KPI yang di­te­tapkan, kerajaan memberi cabaran supaya kami untuk mengubah gaya kerja agar menjadi lebih kompetitif untuk bersaing dengan kontraktor kaum lain atau kontraktor antarabangsa.

“Peluang telah disediakan oleh kerajaan, kini menjadi tanggungjawab kontraktor bumiputera untuk memberi perkhidmatan serta kualiti kerja yang cemerlang,” katanya.