Daripada jumlah pemeriksaan itu, sebanyak 431 kes diambil tindakan dengan nilai denda yang dikenakan adalah RM175,800 manakala nilai kompaun pula RM53,200.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK negeri, Saharuddin Mohd. Kia berkata, kesemua penguatkuasaan itu melibatkan Akta Perlindungan Pengguna dan Akta Perihal Dagangan termasuk pematuhan Sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Selain itu, jelas beliau, ia juga melibatkan 26 aduan kes sifar GST yang membabitkan premis perniagaan seperti pasaraya, pasar mini, kedai runcit dan peruncitan lain.

"Daerah ini (Kuala Terengganu) mencatat kes tertinggi iaitu 20 kes diikuti Kemaman lima kes dan satu kes di Dungun.

"Aduan itu membabitkan harga barang yang tidak berubah walaupun selepas perubahan cukai GST 0 peratus, harga tidak selaras, premis masih kenakan 6 peratus GST dan sebagainya," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri KPDNKK di sini hari ini.

Mengulas mengenai aktiviti penguatkuasaan secara keseluruhan di Terengganu, Saharuddin berkata, daripada 20,908 pemeriksaan, daerah Kuala Terengganu juga mencatat jumlah tertinggi iaitu 9,588 pemeriksaan diikuti Besut (4,227), Kemaman (3,726) dan Dungun (3,367).

Manakala daripada keseluruhan 431 tindakan kes, katanya, 160 kes dicatatkan di daerah ini disusuli Dungun (109 kes), Besut (95 kes) dan Kemaman (67 kes). - UTUSAN ONLINE