Ketua Penerangannya, Datuk Fathul Bari Mat Jahya berkata, pemberian bantuan menerusi program Happy to School yang mula dilaksanakan tahun ini melibatkan 73 kawasan Parlimen terpilih.

“Program bermula November lalu bertujuan meringankan beban mereka yang memerlukan bantuan dan merupakan mandat diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada KP1M untuk membantu golo­ngan berkenaan.

“Pemberian bantuan di Parlimen Jerantut hari ini merupakan lokasi ke-12 dan kita menjangkakan sumbangan di semua Parlimen terpilih dapat diselesaikan menjelang awal bulan depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas penyampaian sumba­ngan Happy to School di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temin di sini, hari ini.

Yang hadir sama Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Pegawai Pendidikan daerah, Ali Afandi Abdul Majid.

Seramai 1,000 murid daripada keluarga berpendapatan RM1,000 ke bawah sebulan di daerah ini menerima bantuan berkenaan.

Menurut Fathul Bari, bantuan yang diberikan kepada murid-murid tersebut menunjukkan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membantu masyarakat tanpa mengira latar belakang politik.

Bantuan berkenaan, kata beliau, disalurkan kepada golongan sasar khususnya keluarga yang memerlukannya dengan kerjasama pejabat Parlimen dan Pejabat Pendidikan daerah.

“Selain meringankan beban dan memberikan kegembiraan kepada kanak-kanak untuk memulakan persekolahan, program ini dapat mengeratkan lagi hubu­ngan antara ibu bapa dengan pe­ngurusan sekolah serta pemimpin setempat,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Nazlan berkata, sumbangan yang diberikan oleh KP1M amat bermakna sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan BN di bawah kepemimpinan Najib.