Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pemberian itu bertujuan me­ringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan pendidikan untuk anak-anak.

Katanya, Kuala Nerus merupakan Parlimen ke-51 yang menerima manfaat tersebut daripada keseluruhan 75 Parlimen yang disasarkan.

“Saya tengok pelbagai agensi kerajaan atau anak syarikat pusat dan negeri berlumba-lumba turun ke bawah untuk menyumbang, hinggakan saya boleh rasa ada anak-anak yang mungkin telah mendapat lebih daripada satu bentuk bantuan daripada pelbagai pihak menerusi program-program sebegini.

“Inilah perjuangan kerajaan Barisan Nasional (BN), kita bukan sekadar mendengar malah merasai denyut nadi rakyat dengan menzahirkan sumbangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Happy 2 School di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria.

Jelajah program Happy 2 School di negeri ini akan diteruskan lagi esok membabitkan Parlimen Setiu dan Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ahmad Razif memberitahu, kerajaan negeri telah mengarahkan semua sekolah agar mengenal pasti mana-mana murid yang tercicir daripada menerima sebarang bantuan persekolahan yang disumbangkan pelbagai pihak.

“Apabila saya melihat bantuan diberi, sewajarnya tidak ada murid atau pelajar yang terpinggir dan saya telah meminta Pengarah Pendidikan untuk memaklumkan kepada guru-guru kelas terutama untuk melihat ada atau tidak mereka yang tercicir.

“Kita tidak mahu ada murid dan pelajar yang tidak terima atau ada yang masih terpaksa menggunakan pakaian lama, jadi kita akan bantu dan salurkan peruntukan kepada sekolah,” katanya.