Amin Senin
Amin Senin 

Amin melawat rumah itu untuk bertemu kedua ibu bapa Sharleena, Sakka Matta, 54, dan Raminah Kybe, 44, bukan kerana anak perempuan mereka seorang pelajar bermasalah, tetapi ingin berterima kasih atas peranan mereka memastikan penguasaan akademik Sharleenah cukup cemerlang, sehingga menjadikan dia antara pelajar harapan sekolahnya.


Kunjungan Ketua Pengarah Pelajaran bersama rombongan Pengarah Pendidikan Sabah Mistirine Radin dan Pengetua SMK Tebobon Ajmal Jumah ke kediaman Sharleenah itu adalah sebahagian daripada intipati ditekankan dalam pelaksanaan Program Ziarah Cakna dilancarkan di seluruh negara, hari ini.
Sakka ketika ditemui Bernama berkata kunjungan itu amat bermakna buat mereka sekeluarga terutama kepada Sharleenah yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini supaya terus bersemangat dan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita diimpikan.


"Program Ziarah Cakna sangat penting kerana ini adalah saluran untuk warga pendidik lebih mengetahui latar belakang dan potensi pelajar selain komited mengenal pasti masalah dihadapi pelajar dan membantu menyelesaikan masalah, ke arah memastikan tiada pelajar tercicir atau berhenti sekolah.

"Mungkin dengan program ziarah cakna ini juga guru boleh membantu pelajar cemerlang terutama yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan atau B40 seperti saya dengan melihat keperluan pelajar itu termasuk memberi bantuan biasiswa," katanya.


Sakka yang juga Naib Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tebobon turut berharap warga pendidik di sekolah itu terus bergerak aktif mengadakan lawatan ke rumah pelajar dan bertemu ibu bapa kerana hubungan antara kedua-duanya penting dalam melahirkan pelajar cemerlang, berbakat, berdisiplin dan mempunyai hala tuju pendidikan.


Sharleenah, 17, yang merupakan anak keempat daripada tujuh beradik itu pula berkata, dia gembira dan terharu ketua pengarah pelajaran melawat ke rumahnya dan memberi kata-kata semangat untuk dia terus cemerlang dan mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan SPM nanti.


"Saya dinasihatkan supaya melanjutkan pelajaran lebih tinggi, mengenang jasa kedua ibu bapa saya, menjadi pelajar cemerlang dan menyumbang semula kepada sekolah selepas tamat belajar nanti," katanya.


Pelajar aliran sains yang bercita-cita menjadi seorang peguam syariah itu juga berkata cemerlang dalam pelajaran adalah penting bagi memastikan dia sentiasa konsisten dan fokus mencapai sasaran memperoleh 10A dalam SPM tahun ini demi membahagiakan kedua ibu bapanya.


Sementara itu, Amin ketika ditemui pemberita selepas melancarkan program ziarah cakna bagi negeri Sabah berkata, konsep program itu diperluas dengan melawat rumah pelajar cemerlang dengan tujuan menghapuskan stigma bahawa lawatan warga pendidik ke rumah hanya untuk pelajar bermasalah sahaja.


Beliau juga optimis program ziarah cakna mampu mengatasi masalah ketidakhadiran pelajar ke sekolah meskipun ia tidak menimbulkan masalah besar berikutan kadar pelajar ke sekolah di seluruh negara adalah tinggi iaitu 95 hingga 98 peratus bagi sekolah menengah dan rendah. - BERNAMA