Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Kuala Lumpur, Datuk Abdullah Mahmood berkata, kebanyakan bekas ahli koperasi terbabit gagal dikesan kerana mereka tidak mengemas kini maklumat peribadi.

“Ketiadaan maklumat sedemikian menyebabkan pihak koperasi menghadapi sedikit kesukaran namun pelbagai usaha dan inisiatif telah dijalankan bagi memastikan wang lebihan serta hak mereka dapat diterima.

“Sehubungan itu, mulai 2012 sehingga tahun lalu, pihak koperasi telah menghantar surat ke alamat sedia ada dan setakat ini, sebanyak 7,500 bekas ahli koperasi berjaya dikesan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek bayaran balik wang keanggotaan Kowaja bernilai RM225,000 kepada 45 bekas ahlinya di sini hari ini.

Abdullah menambah, setakat tahun lalu, pihak koperasi telah melaksanakan pemulangan semula wang lebihan bayaran sebanyak RM2 juta.

Sementara itu, Pengerusi Kowaja, Bruhanutheen Ahmed Mustafa memberitahu, segelintir bekas ahli koperasi ragu-ragu apabila menerima panggilan telefon berhubung pemulangan lebihan bayaran pinjaman kerana menganggap ia percubaan menipu.

“Mana tidaknya, tanpa sebarang khabar berita, tiba-tiba mereka menerima panggilan ada pihak yang ingin memberi wang dalam jumlah yang besar walhal sebenarnya, tindakan tersebut adalah usaha pihak koperasi,” jelasnya.

Dalam pada itu, balu seorang bekas ahli koperasi, Sharmin Alam, 60, mengakui dia amat terkejut sewaktu menerima panggilan daripada pihak koperasi berhubung pemulangan lebihan bayaran pinjaman sebanyak RM19,000 kepada arwah suaminya.

“Jumlah tersebut bukanlah satu nilai yang kecil, apa yang diterima hari ini adalah satu rezeki daripada Allah SWT,” jelasnya.

Seorang pesara, Ariffin Saidin, 60, menganggap wang lebihan bayaran pinjaman sebanyak RM11,000 yang diterimanya itu seperti ‘bulan jatuh ke riba’.

“Sebagai bekas ahli koperasi, memang saya ada membuat potongan melalui gaji namun saya fikir semua urusan telah selesai selepas menamatkan perkhidmatan,” katanya.