Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil berkata, sehingga kini masih terdapat 13 ahli Parlimen PH dan 24 anggota pentadbiran termasuk setiausaha politik yang belum mengisytiharkan harta.

Menurut beliau, terdapat 115 ahli Parlimen PH dan 63 anggota pentadbiran telah mengisytiharkan harta masing-masing.

“Terpulang pada mereka untuk laksana atau tidak, sebab­nya itu janji-janji mereka sebelum ini. Kita tidak boleh buat apa-apa sebabnya tiada peruntukan undang-undang terhadap perkara ini.

“Pengisytiharan yang dibuat sebelum ini adalah dilaksanakan mengikut Kod Etika Anggota Pentadbiran Kerajaan dan Kod Etika Ahli Parlimen,” katanya ketika ditemui selepas program Tinjauan Mesra Perdana Hari Antirasuah Antarabangsa 2018 di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull.

Berdasarkan tinjauan menerusi Portal Pengisytiharan Harta SPRM, antara Ahli Parlimen PH yang belum memasuki senarai ialah Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Semporna) dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Tuaran).

Sehubungan itu, Shamshun Baharin memberitahu, SPRM akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk mewajibkan semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PH dan pembangkang untuk mengisytiharkan harta.

Ujarnya, langkah berkenaan akan dibuat sama ada menerusi pindaan Akta SPRM atau satu undang-undang baharu yang bakal dibentang di Parlimen pada April 2019.