Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pematuhan kepada aspek pemakaian yang selari dengan garis panduan Islam adalah sebahagian ciri-ciri profesionalisme atau ‘ihtirafi’ yang menekankan kepada akhlak dan integriti.

“Sebagai Muslim dan penjawat awam kita hendaklah berakhlak dengan akhlak mulia serta terpuji. Contohnya melibatkan solat dan pemakaian. Walau sibuk mana pun kita dalam menjalankan tugas jangan sampai mengabaikan solat.

“Begitu juga dengan pemakaian terutama melibatkan golongan wa­­nita, usahlah berhias sehingga melanggar perintah Allah dalam soal menjaga aurat. Pakaian yang ketat, wangian dan hiasan melampau hendaklah dijauhkan dan tidak berlaku dalam Kompleks Kota Darulnaim,” katanya dalam Majlis Ucapan Amanat Tahun Baharu 2019 dengan tema ‘Pengurusan Ihtirafi Tunjang Kesejahteraan’ di Dewan Jamuan Utama, Kompleks Kota Darulnaim di sini semalam.

Ahmad berkata, perkara itu mungkin dianggap biasa oleh sebahagian pihak tetapi sebagai sebuah kerajaan yang meletakkan Islam sebagai dasar, isu penjagaan aurat adalah besar kerana melibatkan keberkatan dalam pentadbiran.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, beliau bersyukur dengan prestasi kewangan cemerlang kerajaan negeri apabila akaun semasanya pada penghujung 2018 mencatatkan lebihan (surplus) RM40.4 juta meningkat daripada lebihan RM38.2 pada 2017.

“Saya percaya ini adalah hasil kerja kuat dan perbelanjaan secara berhemah di sam­ping mengelak ketirisan serta sokongan penuh semua kakitangan. Penguatkuasaan berkesan Pejabat Perhutanan serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) misalnya berjaya menambah pendapatan hasil tanah dan hutan,” katanya.

Katanya, tiga fokus utama kerajaan negeri pada tahun ini adalah mencipta peluang pekerjaan melalui pembangunan industri hiliran daripada sumber asli, kebersihan dan keceriaan negeri serta mena­ngani gejala sosial dan aktiviti maksiat.