Ketua Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berkata, jumlah kos RM55 bilion seperti yang dinyatakan sebelum ini hanyalah untuk fasa pertama bagi projek pembinaan tersebut.

"Jika termasuk fasa kedua mungkin ada tambahan dalam RM11 bilion dan jika lihat dengan kadar faedah yang dikenakan dan lain-lain, kemungkinan kos bagi pembinaannya boleh mencecah lebih lagi.

"Saya biar kerajaan untuk mengumumkan kos sebenar bagi keseluruhan projek tersebut. Sama ada projek ECRL patut diteruskan, saya berpandangan terpulang kepada kerajaan untuk membatalkannya ataupun tidak," katanya dalam sidang akhbar di Menara Ilham, di sini hari ini.

Projek ECRL bernilai RM55 bilion sepanjang 688 kilometer menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan. Projek berkenaan dijadual siap pada Jun 2024. - UTUSAN ONLINE