Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pe­kerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda membe­ritahu, besar kemungkinan penja­wat awam tidak mempunyai pilihan menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi mereka dan memilih untuk mene­rima atau meminta rasuah.

AZIH MUDA
AZIH MUDA 

Jelasnya lagi, walau ba­gaimanapun, penjawat awam tidak boleh menjadikan faktor kewangan sebagai alasan menghalalkan kesilapan mereka dan melibatkan diri dengan gejala rasuah.

“Mungkin gaji sedia ada tidak mencukupi jadi, mereka menggunakan peluang yang ada untuk meminta atau me­nerima rasuah kerana itu boleh membantu mengatasi masalah kewangan.

“Namun mereka perlu sedar apa jua alasan rasuah tetap satu kesalahan dan jangan sesekali melakukan perkara yang me­nyalahi undang-undang,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Azih, bagi mengatasi masalah tersebut kerajaan perlu memikirkan cara untuk mengurangkan kos sara hidup termasuk menaikkan gaji penjawat awam agar mereka bebas daripada masalah kewangan.

Dalam pada itu, bekas Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri memberitahu, kegagalan mengawal kewangan juga antara penyebab gejala ra­suah berleluasa.

“Ada yang tidak boleh membezakan kehendak dan kemahuan, akhirnya mereka terpaksa mencari ‘wang tepi’ untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Jadi mereka mula meminta dan menerima rasuah walaupun sedar risiko yang bakal dihadapi sekiranya ditangkap,” katanya.