Malah bukan sesuatu yang baharu, laluan koridor dan tangga di kawasan penempatan tersebut turut dikesan menjadi ‘stor’ kepada penghuni meletakkan pelbagai barangan mereka.
Mungkin ramai yang menganggap senario tersebut sesuatu yang remeh sebaliknya perbuatan itu amat berbahaya memandangkan lokasi tersebut merupakan laluan kecemasan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini seperti kebakaran.
Justeru ikuti laporan khas wartawan S2, NAZWIN NAZRI dan ZULHILMI ZAINAL berhubung keadaan semasa, kesan dan tindakan yang boleh dikenakan terhadap perbuatan penghuni terbabit.

 

Mengundang bahaya ketika kecemasan

Perangkap diri. Itu senario yang boleh menggambarkan keadaan laluan serta koridor beberapa buah pangsapuri, Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Lembah Klang yang dijadikan sebagai 'stor' penghuninya.

Situasi berkenaan amat mengundang bahaya berikutan kawasan koridor serta tangga di penempatan tersebut yang merupakan laluan kecemasan dipenuhi barangan persendirian dan terpakai penduduk.

Tinjauan S2 di kawasan berkenaan mendapati koridor selebar kira-kira dua meter yang sepatutnya dikosongkan itu dipenuhi sofa, almari pakaian, rak kasut, motosikal dan pasu bunga selain ada penduduk yang menjadikan ruangan awam itu sebagai tempat menyidai pakaian.

Lebih mengejutkan, kawasan tangga turut menjadi sasaran penduduk untuk meletakkan barangan mereka.

Keadaan itu sekali gus membahayakan penghuni sekiranya berlaku bencana seperti kebakaran atau kejadian kecemasan yang memerlukan tindakan segera.

Bayangkan sekira berlakunya kebakaran di tingkat yang tinggi ataupun ada penghuni yang sakit dan perlu diangkat dan dibawa ke hospital segera.

Bagaimana perkara yang mungkin dipandang remeh ini boleh membawa mudarat kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Persoalannya, adakah penghuni tidak mengetahui tentang perkara tersebut atau sememangnya alpa dan sengaja membiarkannya supaya barangan mereka dipungut pihak pengurusan perbadanan untuk dibuang?.

Apapun pihak perbadanan pengurusan wajar memantau dan menguruskan keadaan yang berbahaya dan salah dari segi aspek keselamatan itu.

Apatah lagi setiap penghuni membayar caj penyelenggaraan kepada badan berkenaan.

Berdasarkan peruntukan yang dalam Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007 serta Akta Hakmilik Strata 1985, Perbadanan Pengurusan yang dilantik seharusnya bertanggungjawab untuk mengurus dan menyenggara harta bersama.

Bagaimanapun, perkara itu tidak dilakukan sehingga menyebabkan segelintir penghuni mengambil kesempatan dan mengabaikan aspek keselamatan sekali gus menyebabkan ketidakselesaan kepada penghuni yang lain.