Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pengaturan pe­ngawal seliaan akan dilakukan oleh pihak kawal selia kedua-dua negara untuk membolehkan penubuhan pautan dagangan tersebut.

Katanya, ia akan meningkatkan lagi faedah yang diraih bersama dan memanfaatkan potensi ekonomi kedua-dua pasaran yang telah mencapai tahap kemata­ngan mencukupi bagi menubuhkan koridor pasaran itu.

Penubuhan koridor pasaran itu adalah susulan daripada perbinca­ngan beliau dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

“Malaysia berfungsi sebagai pintu masuk ke ASEAN dan sebaik sahaja Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau dimuktamadkan, hampir 50 peratus daripada penduduk dunia dan lebih 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global akan dirangkumi.

“Kita juga dijadualkan meme­terai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), pengganti ke­pada TPP pada Mac ini,” kata­nya ketika menyampaikan ucaptama Simposium Pasaran Modal Dunia (WCMS) 2018 di sini hari ini

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Tan Sri Ranjit Ajit Singh dan Pengerusi Institut Penyelidikan Pasaran Modal (ICMR), Prof. Datuk Dr. Hassan Said.

Dalam pada itu, Najib meng­umumkan duti setem ke atas saham syarikat permodalan sederhana dan kecil yang didagangkan di Bursa Malaysia akan dikecualikan bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa Mac 2018

Beliau berkata, syarikat permodalan sederhana dan kecil kata beliau, menyumbang lebih satu pertiga daripada syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan permodalan pasaran berjumlah sebanyak RM217 bilion.

Perdana Menteri juga mengumumkan kerajaan telah memulakan perbincangan menyeluruh dengan SC dan kedua-dua pihak memutuskan untuk mengambil langkah bagi merancakkan lagi pasaran termasuk peraturan pembiayaan margin yang akan diliberalisasikan untuk menjadikan pasaran lebih menarik.

“Selain itu, jualan singkat ha­rian kepada semua pelabur akan dibenarkan dan satu kategori baharu peniaga, dikenali sebagai ‘Pakar Dagangan’ akan diper­kenalkan,” tambahnya.

Najib turut mengumumkan semua syarikat milik kerajaan (GLC) akan menyumbang sekurang-kurangnya satu peratus daripada keuntungan sebelum cukai untuk tujuan sosial dan alam sekitar.