Agensi berita KCNA memetik Kementerian Luar berkata, arahan sekatan tersebut akan kekal sehingga kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam diselesaikan dengan adil.

“Semua warga Malaysia di Korea Utara buat sementara waktu akan dilarang daripada meninggalkan negara ini sehingga keselamatan para diplomat dan rakyat Korea Utara di Malaysia dijamin sepenuhnya melalui penyelesai­an saksama terhadap kes yang berlaku di Malaysia

“Diplomat dan rakyat Malaysia di Korea Utara akan dibenarkan untuk menjalankan perniagaan dan hidup secara normal ketika larangan dikuatkuasakan,” kata pegawai itu.

Sementara itu, menurut saluran berita China Central Television (CCTV), kakitangan kedutaan Malaysia di Pyongyang dilihat membakar dokumen dan memuatkan bagasi mereka ke dalam kenderaan sejak malam tadi.

Menurut laporan berkenaan, tindakan yang dikatakan sebagai prosedur kecemasan itu dimulakan kira-kira pukul 6 petang semalam tidak lama selepas Korea Utara membuat pengumuman mengusir Duta Besar Malaysia ke Pyongyang, Mohamad Nizan Mohamad sebagai tindak balas kepada Wisma Putra yang mengisytiharkan Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol sebagai persona non grata.

Laporan itu juga menyatakan Jalur Gemilang dan bendera ASEAN di pekarangan kedutaan diturunkan pagi ini manakala tiga kenderaan telah dilihat meninggalkan premis itu.