Bekas penganalisis Agensi Pe­risikan Pusat (CIA) bagi Korea Utara, Su Mi Terry seperti dilaporkan CNN berkata, tindakan Korea Utara itu menunjukkan negara tersebut tidak menghiraukan nyawa manusia.

Beliau juga mendakwa tidak terkejut sekiranya kerajaan di bawah pemerintahan Kim Jong-un mungkin terlibat sama dalam kes pembunuhan abangnya, Kim Jong-nam selain menyifatkan pembunuhan itu sebagai agak membimbangkan.

“Saya percaya beliau lebih berani mengambil risiko berbanding ayahnya.

“Saya juga percaya terdapat larangan seperti penjualan bahan nuklear kepada kumpulan pengganas tetapi hakikatnya penggunaan senjata kimia di tempat awam atau kawasan terbuka seperti insiden yang berlaku itu (kematian Jong-nam) amat membimbangkan,” katanya kepada CNN.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan agen saraf VX telah digunakan dalam pembunuhan Jong-nam.

Pada 13 Februari lalu, Jong-nam maut selepas disembur sejenis cecair yang dipercayai racun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sebelum sempat berlepas ke Macau.

Jong-nam yang kemudiannya mengadu sakit telah dirawat di klinik di lapangan terbang itu namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Dalam pada itu, berita CNN turut memaklumkan, Korea Utara masih belum memberi sebarang maklum balas terhadap laporan kerajaan Malaysia bahawa agen saraf VX dikatakan punca kematian Jong-nam.

“Namun, Korea Utara menafikan melakukan serangan tersebut,” katanya.