Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Pertanian Melaka, Datuk Isnin Aman berkata, sebanyak 10 ekor lembu disediakan untuk program korban itu di mana pengunjung boleh menyertai dengan bayaran RM500 untuk satu bahagian.

Beliau berkata, ini merupakan julung kali majlis korban diadakan sempena pesta durian itu yang masuk tahun ketiga diadakan di Ladang Buah-buahan Tropika Melaka (MTFF) Sungai Udang di sini.

"Orang ramai dijemput menghadiri pesta durian dan buah-buahan kali ini kerana kita menjangkakan lebih 50,000 akan hadir berikutan cuti persekolahan sempena Hari Kebangsaan 2017 dan Hari Raya Aidiladha," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, selain 20 tan pelbagai jenis durian seperti Musang King, D101, D24, durian kampung dan durian kahwin, turut dijual pelbagai buah-buahan tempatan antaranya rambutan, mangga, manggis dan pisang.

Beliau berkata, pesta berkenaan bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam dan masuk adalah percuma. - UTUSAN ONLINE