Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, program tersebut yang akan diadakan secara berperingkat-peringkat melibatkan kesemua 2,388 buah koperasi sekolah, akan dimulakan terlebih dahulu di negeri Selangor.

“Ini merupakan sebahagian daripada sumbangan kita kepada negara untuk bersama-sama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meningkatkan kesedaran dan pencegahan terhadap rasuah serta salah guna kuasa.

“Angkasa yang menjadi badan induk kepada 13,600 buah koperasi, memandang berat soal integriti kerana sebagai organisasi yang mempunyai kepentingan awam, kita menguruskan seba­nyak RM1.4 bilion transaksi sebulan melibatkan dua juta orang dalam urusan pembayaran balik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis lafaz IBR Peringkat Angkasa Perak di sini hari ini yang diketuai oleh Pengerusi Perhubungannya, Mohd. Rosli Basri.

Hadir sama, Timbalan Penga­rah Pencegahan SPRM Perak, Ahmad Shukri Mohamad Taib dan Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar yang juga menyampaikan ceramah integriti pada majlis itu.

Angkasa telah melafazkan IBR di peringkat Pusat bermula tahun lalu.

Angkasa Perak menjadi cawa­ngan kedua yang menganjurkannya di peringkat negeri selepas Angkasa Sarawak dan ia bakal diperluas kepada 14 cawangan lain selepas ini.

Dalam pada itu, Abdul Fattah tidak menafikan wujudnya kes rasuah dan salah laku dalam kalangan koperasi, namun yang disiasat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) tidak sampai dua peratus.

“Kalau ada kes pun biasanya melibatkan subsidiari koperasi yang berfungsi sebagai syarikat. Hal ini disebabkan koperasi mempunyai peraturan ketat termasuk audit dalaman dan luaran selain dipantau oleh SKM.

“Malah, sebarang keputusan yang hendak diambil perlu diluluskan melalui mesyuarat agung,” katanya.